Sepasang suami isteri sedang menaiki basikal pada suatu petang. Suami  di hadapan, manakala isterinya membonceng di belakang. Mereka melalui  jalan berhadapan sebuah vila. Kebetulan di halaman vila tersebut sedang  duduk pemilik dan isterinya sambil santai-santai minum petang.
Tiba-tiba pandangan kedua-dua pasangan suami isteri itu bertembung.  Pasangan suami isteri yang sedang bersantai di halaman vila merenung  pasangan suami isteri yang sedang berbasikal melalui hadapan vilanya.
Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara...
"Alangkah bahagianya mereka," bicara hati suami yang sedang  menunggang basikal. "Rumah besar, duduk bersantai pula dengan menikmati  makanan yang enak-enak. Isterinya cantik, kereta besar..."
Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya?
"Oh, romantik sungguh kedua-dua suami isteri itu. Isterinya memeluk  erat di belakang. Alangkah bertuahnya mendapat seorang isteri yang  disayangi. Tidak seperti aku, sekalipun mempunyai harta yang melimpah  ruah tetapi aku tidak bahagia seperti mereka..." begitulah bisik hati si  suami kaya itu.
Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka yang bahagia apabila  masing-masing merasakan orang lain yang lebih bahagia? Apa ukuran sebuah  rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala kekayaan dan kemewahan  hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta berjenama, itukah petanda  rumah tangga yang bahagia?
Jika itulah petanda bahagia, tentu sahaja rumah tangga Rasulullah dan  isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa sejarah telah menukilkan sering  kali dapur rumah Rasulullah tidak berasap kerana tidak ada makanan untuk  dimasak. Alas tempat tidur Rasulullah sangat kasar sehingga berbekas di  belakang Baginda apabila tidur di atasnya.
Namun, rumah tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang paling bahagia dan hingga kini menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.
Apa  sebenarnya bahagia itu? Hakikatnya ramai manusia masih tertanya-tanya  dan teraba-raba tentangnya. Yang miskin berasa bahagia itu pada  kekayaan. Namun apabila dia mencapai kekayaan, ada yang lain pula  disangkanya bahagia, lalu itulah pula yang diburunya untuk mendapat  bahagia.
Bagi orang yang sakit, sihat itu bahagia. Sebaliknya pada yang sihat,  itu bukan bahagia. Buktinya betapa ramai orang yang sihat tubuh badan  tetapi muram jiwanya.
Bagi orang biasa, ternama dan termasyhur itu bahagia. Anehnya ramai  pula orang ternama yang menyamar dan ingin lari daripada paparazi kerana  benci akan publisiti.
Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam,  sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain  perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada  kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan  sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk menangani sesuatu yang berasal atau berpunca dari dalam diri,  manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus  bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman  ialah soal hati atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia.  Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada  Penciptanya (Allah).
Bahagia itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang  terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah  mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenang.  Firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah dengan mengingati Allah hati  akan menjadi tenang." (Surah al-Ra'd 13: 28)
Dengan berzikir hati menjadi tenang dan dengan ketenangan hati itulah  terciptanya kebahagiaan pada diri seseorang. Itulah resipi kebahagiaan  dari segi ilmiahnya. Namun bagaimana pelaksanaannya?
Saya pernah mendengar kisah benar yang diceritakan oleh seorang bekas  mufti tentang pengaduan seorang suri rumah tentang kebengisan suaminya.  Bayangkan, suaminya "kaki masjid", kuat berzikir dan memakai serban  serta jubah. Namun anehnya, suami itu sangat garang dan ganas. Pantang  salah sedikit, isterinya akan diherdik, ditampar malah ditendangnya.
Lalu kita tertanya-tanya, mengapa suami yang kuat berzikir itu jadi  begitu? Mengapa zikir yang ditegaskan sebagai sumber ketenangan itu  gagal memberikan ketenangan kepada suami yang pemarah itu?
Lalu kita bertanya, bagaimana faktor zikrullah (mengingati Allah) ini  dapat dipraktikkan dalam rumah tangga agar rumah tangga itu benar-benar  mendapat ketenangan dan seterusnya kebahagiaan? Apakah suami, isteri  dan seluruh anggota keluarga perlu berzikir sahaja sepanjang masa? Atau  mengapa setelah zikir dipraktikkan, rumah tangga masih tidak  tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada sepasang suami isteri yang menghadapi masalah dalam rumah  tangga. Isteri keletihan menguruskan anak-anak yang masih kecil manakala  suaminya pula keletihan bekerja untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka  sama-sama letih. Setelah mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan  Sayidina Ali mendapat kekuatan daripada berzikir dengan kalimah  Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar, mereka pun terus  mengamalkannya. Sayangnya, mereka tidak mendapat ketenangan seperti yang  dialami oleh Siti Fatimah dan Sayidina Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang  lebih penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan  perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi –  lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi'li). Inilah yang hendak  dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut  kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan  sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga, perlu ada program zikir secara  rasmi dan tidak rasmi agar seluruh anggota keluarga berzikir sama ada  secara berjemaah ataupun individu. Seelok-eloknya setiap keluarga ada  amalan-amalan zikir yang khusus dan diamalkan secara istiqamah. Pilih  sahaja sama ada al-Ma'thurat, Manzil atau zikir-zikir warisan keluarga  yang berasal daripada tarekat-tarekat yang muktabar. Atau ambil sahaja  daripada zikir-zikir yang telah terbukti autentik daripada petikan ayat  al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
Tidak cukup sekadar "membaca" atau "menyebut" kalimah zikir, tetapi  paling utama mesti dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha  Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala  kekurangan, kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi  zat, sifat, perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada  segala sifat buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya  yang serba-serbi lemah, kurang dan hina.
Untuk menghayati zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna  dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti  belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan  dalam bentuk penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam  rumah tangga. Katakan "Subhanallah" apabila Allah disifatkan dengan  sesuatu yang negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan  sama ada buruk atau baik, suka atau duka, untung atau rugi dalam rumah  tangga kita.
Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi praktik "Subhanallah" itu  hendaklah diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada  oleh suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar  menyucikan Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan  marah-marah, mengherdik apalagi memukul pasangannya. Adakah mereka  berani berbuat demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan  kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin  boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia  "menyucikan" dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang daripada ketenangan. Ketenangan itu pula  datang daripada zikir. Namun bukan semua zikir menghasilkan ketenangan.  Zikir yang menghasilkan ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara  bersepadu antara lidah, hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu  yang memberi ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba  dalam hidup.
Hati yang tenang akan bersyukur apabila menerima nikmat, sabar  apabila ditimpa musibah, rela memberi maaf apabila dipinta, mudah  meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal  apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?
- 
Artikel iluvislam.com
Ditulis oleh PAHROL MOHAMAD JUOI. layari  blog beliau di http://genta-rasa.com/about/